BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, September 20, 2010

Sahabat !

Bismillah .
Salam kepada semua blogger dan pembaca ..
moga hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini ..
ameen .

Di mana jua kalian berada,aku sentiasa doakan agar sentiasa beroleh taufiq dan hidayah Allah. Sentiasa terdorong melaksanakan kebaikan, juga terhindar dari melakukan sebarang keburukan.

Aku sangat merindui dan mengasihi kalian dengan kasih sayang Islam; supaya dengannya kita akan dikumpulkan kembali di yaumil akhir nanti. Di sana nanti tiada lagi naungan selain naunganNya. Ini berdasarkan maksud sabda Rasulullah s.a.w;

“Pada hari kiamat Allah akan berfirman: Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana keagunganKu? Hari ini Aku akan melindungi mereka, sebab hari ini tidak ada perlindungan selain daripada perlindunganKu.” (HR Muslim)

Sahabat-sahabatku yang sentiasa gigih di jalan kebenaran…,
Dengan izin dan perkenan Allah jua kita masih dipertemukan di dalam siri peringatan; bekalan sepanjang hayat . Moga dengannya kita mampu menghimpun bekalan-bekalan yang akan menyelamatkan kita dari sebarang rupa keburukan yang kita khuatiri. Lebih utama yang kita harapkan, bekalan yang dikumpul akan meyampaikan kita kepada segala bentuk kebaikan.

Di pertemuan kali ini kita akan dihidangkan dengan bekalan yang mempengaruhi sebahagian besar masa harian kita;

Bekalan untuk antum : Sahabat Yang Baik Penyelamat Bencana

Ketahuilah Sahabat-sahabatku,
Setiap diri muslim melalui perjalanan hidup yang berbagai ragam. Tidak berada di dalam suasana yang sama warnanya sepanjang masa. Ada kalanya kita mudah melakukan kebaikan. Ada kalanya kita ditimpa bencana hasutan syaitan dan perdayaan nafsu hingga menyeleweng dari keredhaan Allah. Oleh itu perkara yang berpengaruh kuat dan mampu menarik kita kembali ke jalan kebenaran adalah keteguhan persahabatan di jalan Allah. Disebabkan kekuatan luarbiasa terkandung di dalam persaudaraan Islam, maka perkara pertama yang Ar-Rasul Muhammad s.a.w laksanakan sewaktu berhijrah ke Madinah ialah mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar. Kekuatan yang dimaksudkan adalah anugerah Allah kepada setiap diri muslim yang merasai mereka telah diikat dengan keimanan. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Anfaal ayat 63 bermaksud;

“Dan yang mempersatukan hati mereka(orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Sahabat-sahabatku yang bertaqwa,
Kekuatan persaudaraan Islam yang begitu rupa akan mampu memperingatkan kalian sewaktu lemah dan leka. Seandainya kalian ditinggal bersendirian terkapai-kapai tanpa sahabat yang baik, kalian terdedah kepada kehancuran dan kebinasaan. Pada hakikatnya serigala akan menerkam kambing yang terpisah dari kumpulannya. Sudah tentu sahabat yang soleh (baik) tidak akan membiarkan kita bersendirian. Dia akan sentiasa mengingatkan kita kepada kebaikan.

Seperkara lagi yang perlu diingat; setiap diri manusia merupakan cermin sahabatnya. Sekiranya sahabat yang kita pilih itu berakhlak mulia, maka kesannya kepada diri kita juga adalah kebaikan belaka. Sebaliknya andainya sahabat yang kita pilih itu berakhlak buruk, maka kita akan terdorong melakukan dosa dan kemungkaran. Ini bertepatan dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w;

“Sesungguhnya sahabat yang soleh itu umpama penjual minyak wangi. Jika kita tidak membeli darinya, tetap kita akan menghidu bau wangi darinya. Sedangkan sahabat yang jahat pula, umpama tukang besi. Walaupun tidak terkena percikan api, tetap kita merasai bahang panas dan terhidu bau busuk darinya”.

Dari itu sewajarnya kita perlu menentukan pilihan yang terbaik dalam bersahabat berdasarkan ketinggian iman dan taqwa.

Mukmin sejati !
Marilah kita merenungi secebis kisah dari sirah para sahabat Rasulullah; semoga dengannya terlihat jelas fungsi sahabat yang baik.

Umar bin Al-Khattab mempunyai sahabat yang rapat dengannya bernama ‘Iyash bin Abi Rabi’ah. ‘Iyash memeluk Islam ketika waktu yang hampir dengan perintah berhijrah ke Madinah. Oleh itu imannya masih tipis ketika itu. Bagaimanapun ‘Iyash cuba menyertai hijrah bersama-sama Umar Al-Khattab.

Di pertengahan jalan ibunya menghantar utusan untuk memujuknya pulang dengan ancaman ibunya akan terus-terusan berjemur di tengah panas tanpa beralih ataupun mandi. Hal itu membuat ‘Iyash khuatir dan hatinya berbelah bagi, bimbangkan keselamatan ibunya. Umar cuba memujuknya; “Usahlah terlalu khuatir akan ibumu. Selepas dua hari berjemur, badannya akan kotor dan dia pasti rimas . Tentunya dia akan mandi. Jika dia berjemur seharian di bawah mentari, pasti esok dia akan berteduh”.
Disebabkan iman di hatinya masih lemah, dia berkeras juga ingin pulang menemui ibunya. Umar hanya mampu memperingatkannya; “Wahai ‘Iyash, jika engkau pulang, pasti ditimpa bala’ dan cobaan”.

Namun sahabat yang baik tidak tergamak membiarkan sahabatnya ditimpa kesusahan. Umar telah melakukan sesuatu yang dapat mengingatkan ‘Iyash walau dia tidak berada bersamanya. Disebabkan ‘Iyash tidak mempunyai unta, diberikanya untanya kepada ‘Iyash; “Ambillah untaku ini. Semoga dengannya kau akan mengingatiku dan kembali bersama-samaku”. Sebaik-baik ‘Iyash pulang kepada keluarganya, dia telah dipukul dan disiksa. Hampir saja dia berjaya dipujuk meninggalkan Islam. Terlihat saja dia kepada unta Umar, ‘Iyash ingat kembali kepada iman dan Islam. Di situlah kekuatan erti persahabatan yang terjalin. Sahabat yang baik mampu menyelamatkannya dari bencana kufur.

Sahabat-sahabatku yang diharapkan membawa kebaikan kepada insan lain;
Bilamana antum telah berjaya beroleh sahabat sejati berteraskan iman dan taqwa, perlulah diberi perhatian terhadap langkah-langkah yang menyuburkan ikatan ukhwah tersebut;

  • mengasihi saudara seIslam semata-mata kerana Allah
  • mengucapkan salam bila bertemu
  • sentiasa menziarahi terutama ketika sakit
  • sentiasa saling mendoakan
  • menolong ketika kesempitan
  • memenuhi jemputan
  • memberi ucapan tahniah dan takziah
  • saling memberi hadiah
  • tidak memutuskan silaturrahim dan memulaukan
  • bertolak ansur dan saling memaafkan
  • bermanis muka semasa bertemu
  • sentiasa jujur dan ikhlas inginkan kebaikan sesama saudara seIslam.

Mukmin Sejati!
Pada hakikatnya, persahabatan yang baik memerlukan perhatian dari kita untuk mengawalnya dari dirosakan oleh gejala-gejala liar sepetimana maksud sabda Rasulullah;

“Janganlah kamu saling putus-memutus hubungan, janganlah kamu saling berpaling tadah, janganlah kamu saling benci-membenci, janganlah kamu saling berhasad dengki. Dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Dan tidaklah halal bagi seorang muslim berpaling dari saudaranya lebih dari tiga hari”. (HR Bukhari dan Muslim)

Wassalam.



menujugerbangilahi berwajah baru =)

Saturday, September 18, 2010

Sepuluh Langkah Kekal dalam Ketaatan Selepas Ramadhan






Semasa berada di bulan Ramadhan saya benar-benar dalam suasana penuh ketaatan dan ibadah..saya memperbanyakkan ibadah sunat, saya merasai kelazatan beribadah dan saya banyak membaca al-Quran, bahkan saya tidak pernah ketinggalan menunaikan solat berjamaah dan sentiasa menjaga mata dari melihat perkara yang diharamkan Allah..tetapi selepas Ramadhan segala kelazatan beribadah seperti yang diperolehi di bulan Ramadhan hilang. Saya juga tidak menitik beratkan ibadah. Saya kerap tertinggal solat subuh berjamaah..ibadah sunat dan bacaan al-Quran saya turut berkurangan. Adakah masalah saya ini ada jalan penyelesaian atau penawarnya?

Menurut Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Jabarin yang merupakan seorang ulamak Saudi.

Saudara, saya cadangkan sepuluh langkah untuk mengekalkan kita sentiasa dalam amal soleh selepas Ramadhan:

1. Langkah pertama dan yang paling utama ialah memohon pertolongan Allah supaya kita sentiasa dalam hidayah dan keteguhan. Allah telah memuji doa orang yang bersungguh-sungguh diberikan hidayah. Firman Allah:

رَبَّنَا لا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ

“Mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau condongkan hati kami kepada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah rahmat kepada kami dari sisiMu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.”. (Ali-Imran: 8)

2. Kerap duduk dalam majlis orang soleh dan menitik beratkan majlis zikir umum seperti ceramah atau kuliah agama dan majlis zikir khas seperti menziarahi orang soleh.

3. Mengenali sejarah hidup para solihin melalui pembacaan buku atau mendengar kaset atau cd, khususnya sejarah para sahabat kerana semua ini membangkitkan jiwa yang penuh azam dan tinggi cita-cita.

4. Seringkali mendengar kaset atau cd Islam yang memberi kesan seperti khutbah, ceramah, tazkirah, kuliah dan menonton rakaman aktiviti Islam dari satu masa ke satu masa.

5. Menitik beratkan perkara fardu seperti solat lima waktu dan mengqada’ puasa Ramadhan yang tertinggal kerana perkara fardu mempunyai kebaikan yang besar.

6.Menitik beratkan ibadah sunat sekalipun sedikit kerana menurut sabda nabi saw:

"Amalan yang paling disukai Allah ialah yang konsisten biarpun sedikit". (Baihaqi)

7. Mulakan menghafaz ayat-ayat al-Quran dan berterusan membacanya. Sentiasa membaca ayat-ayat yang telah dihafaz di dalam solat fardu dan sunat.

8. Memperbanyakkan berzikir kepada Allah dan beristighfar kerana ia adalah amalan yang mudah dan manfaatnya sangat besar iaitu menambahkan iman dan menguatkan hati.

9. Menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang merosakkan hati seperti sahabat yang buruk, menonton television, banyak bercakap, mendengar lagu, menyanyi dan sukakan hiburan, menatap majalah yang lucah.

10. Cadangan terakhir saya kepada saudara yang dikasihi ialah segera bertaubat dengan taubat nasuha supaya tidak kembali semual ke lembah kehinaan dengan izin Allah kerana Allah sangat suka hamba yang bertaubat.

Saudara, janganlah anda termasuk ke dalam golongan yang hanya mengenali Allah di bulan Ramadhan! Para Salaf as-soleh pernah berpesan:

“Seburuk-buruk kaum ialah yang hanya mengenali Allah pada bulan Ramadhan sahaja”.

Berdoalah semoga saudara bertemu Ramadhan yang lain dan saudara dalam keadaan sihat wal afiat serta masih teguh di atas agama Allah insya Allah. Wallahu A’lam

------------------
Dipetik daripada Islam al-Yaum

http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=9425&SecID=363

Thursday, September 9, 2010

Muhasabah Ramadhan

salam .

tepat bukanya puasa , syaitan akan dilepaskan dari dibelenggu .

jadi , sementara masih sempat lagi .. mari kita bermuhasabah ..

JOM MUHASABAH !

Apa yang telah kita lakukan selama sebulan Ramadhan ?

-For sure , membaca alQuran .

mengkhatamkan alQuran sebanyak yang mungkin .

mengumpul pahala dengan pahala 1 huruf 10 pahala dan digandakan dengan 70 kali ganda .

-Berzikir sebanyak yang mungkin.

Menyebut Allah sudah mendapat pahala , inikan pula memuji Allah , Subhanallah .

Bersyukur , Alhamdulillah . dan segala jenis zikrullah .

Asal kita mengingati Allah , kita akan diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda ..

-Bersedekah seikhlas hati dan sebanyak yang patut .

Kita bersedekah ? jom sedekah sementara Ramadhan masih berbaki .

Pahala yang digandakan tidak ternilai di akhirat sana ..

Adakah kita bersedekah di bulan Ramadhan ? Renungkan .

-Menjaga mulut .

Sangatlah terkutuk bagi mereka yang tidak menjaga mulutnya lebih2 lagi di bulan yang mulia , Ramadhan Al-Kareem .

Menjaga perbicaraan kita dengan orang lain adalah suatu yang dituntut ..

Di dalam alQuran Allah befirman :

"....dan jauhilah perkara dusta"

Al-Hajj : 30

jelas di sini menunjukkan , Allah memerintah agar kita menjaga mulut .

-Qiamullail .

dispesifikkan lagi , Qiamullail di masjid pada 10 malam terakhir , yakni iktikaf .

adakah kita melakukan ? Jom Muhasabah semula ..

mencari Lailatul Qadar adalah salah satu perkara yang utama dalam bulan Ramadhan ..

Ini kerana satu malam itu menyamai amalan seribu bulan ..

tak terkirakah kita ?

betapa banyaknya pahala yang diberikan kepada kita .

tapi kita tidak mencari . Rugi nya ...

oke .

Jom Muhasabah .

Kita buat semua perkara tu .

Tapi akhlak kita tak berubah ?

Sangatlah rugi bagi mereka yang tidak berubah ..

Rugilah bagi mereka yang tidak mendapat walau sedikitpun ketaqwaan dari bulan Ramadhan .

Akhir kalam , jangan lah kerana sehari berhari Raya , Lebur segalanya . Hancur jiwa yang telah kita didik selama sebulan ..

Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri , Maaf Zahir dan Batin ikhlas dari lubuk hati ,

Anas Hishamuddin

Selamat Hari Raya .
Maaf Andai tersalah bicara , terlebih fi'il dan segalanya .

2 Malam yang Berbeza

Bismillah .
Assalamualaikum.

Bersyukur kita ke hadrat ilahi kerana masih dikurniakan nikmat Iman dan Islam .
Dan yang paling penting , nikmat nyawa serta nikmat kesihatan dan kelapangan masa , yakni nikmat yang sentiasa dilupai oleh seluruh manusia .

Tajuk post kali ini ialah 2 malam yang berbeza ?
Apakah 2 malam itu ?
Bagi yang tertanya2 , apa yang ingin dikongsikan di blog ini ialah 2 malam yang berbeza pada Ramadhan kali ini .

Seperti kebiasaan Ramadhan2 yang lalu ,
ana sekeluarga [laki] akan beriktikaf di Masjid bermula 10 malam terakhir .
Tetapi apa yang ingin dikongsikan ialah pengalaman ana ,
bukan Kami .
Jadi , bukalah minda dan hati untuk membaca post kali ini .

Bermulanya 10 malam terakhir Ramadhan , yang mana dikatakan bahagian ketiga ini ialah bahagian yang mana manusia akan dijauhkan dari api Neraka , kami memburu Lailatul Qadar di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid . Hari2 berikutnya kami memburu lagi Lailatul Qadar di tempat biasa iaitu Masjid Sultan Ismail , UTM .

Bukan itu yang hendak dikongsikan ,
tetapi malam2 yang berbeza ..
2 malam ini ialah malam ke 27 dan 29 .
Masjid Sultan Ismail sentiasa dipenuhi dengan umat2 Islam yang Insya Allah kuat beribadah .

Dua malam ini mungkin salah satunya adalah Lailatul Qadar ..
malam ke 27 ...
ana tidur pada waktu tidur iaitu dalam pukul 11 setelah penat lelah mencari Lailatul Qadar ,
namun tidak kujumpa .
Pukul 2 pagi , ana bangun mengambil wudhu' dan melihat keindahan langit Ilahi ..
oh ? Nada terkejut bercampur mengagumi ciptaan Ilahi .. Sungguh indah langit Ilahi ketika itu kerana warnanya yang sangat berlainan dari hari2 biasa .. Adakah ini tanda2 Lailatul Qadar ?
Pukul 4 pagi ... guruh berdentam dentum tetapi secara tenang ..
Hujan rintis2 bersama alunan bacaan al-Quran dari hampir seluruh manusia di dalam masjid ..
Sungguh ketenangan itu datang apabila kita mengingati Allah ..
Firman Allah dalam Al-Quran :

"......Ingatlah , hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram"
Ar-Ra'd : 28

adakah hujan rintis2 bersama guruh berdentam dentum secara tenang tanda2 Lailatul Qadar ?

Ayuh kita renungkan ..
dan renungkan pula malam ke 29 yang ana lalui ini ..
seperti biasa ..
Pukul 3 pagi , ana bangun dan terus mengambil wudhu' tanpa meninggalkan niat .
Alunan bacaan Quran seperti yang sering didengari semakin berkurangan kerana ramai pelajar2 UTM dan sesiapa sahaja telah pulang ke kampung dan kemungkinan ramai yang menganggap sudah tiada Lailatul Qadar kerana telah hampir ke penghujung Ramadhan ..
Tetapi diri ini masih tenang kerana masih ada lagi alunan bacaan Quran ..

Apa yang berbeza malam ini ?
Pukul 4.30 pagi ,
bergegas pulang ke rumah untuk menikmati hidangan sahur ..
Hari yang tenang , tiada hujan tetapi sejuk yang teramat dari hari2 yang biasa ..
Ana melihat kebanyakan kereta ,
"eh , mana ya embun di cermin kereta ?"
wah , sangat ajaib pada pagi itu kerana tiada satu embun pun yang hinggap di cermin kereta ana.
Pelik dan ajaib sambil mengucap Tasbih memuji kebesaran Allah .
Adakah ini tanda2 Lailatul Qadar ?

Tanda Malam Lailatul Qadar

[1] Udara dan angin sekitar terasa tenang. Sebagaimana dari Ibnu Abbas, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

لَيْلَةُ القَدَرِ لَيْلَةٌ سَمْحَةٌ طَلَقَةٌ لَا حَارَةً وَلَا بَارِدَةً تُصْبِحُ الشَمْسُ صَبِيْحَتُهَا ضَعِيْفَةٌ حَمْرَاء

Lailatul qadar adalah malam yang penuh kelembutan, cerah, tidak begitu panas, juga tidak begitu dingin, pada pagi hari matahari bersinar lemah dan nampak kemerah-merahan.” (HR. Ath Thoyalisi. Haytsami mengatakan periwayatnya adalah tsiqoh /terpercaya)

[2] Malaikat menurunkan ketenangan sehingga manusia merasakan ketenangan tersebut dan merasakan kelezatan dalam beribadah, yang tidak didapatkan pada hari-hari yang lain.

[3] Manusia dapat melihat malam ini dalam mimpinya sebagaimana terjadi pada sebagian sahabat.

[4] Matahari akan terbit pada pagi harinya dalam keadaan jernih, tidak ada sinar. Dari Abi bin Ka’ab bahwa Rasulullahshallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda yang artinya,”Shubuh hari dari malam lailatul qadar matahari terbit tanpa sinar, seolah-olah mirip bejana hingga matahari itu naik.” (HR. Muslim) (Lihat Shohih Fiqh Sunnah II/149-150)

*

Petua oleh Imam Ghazali dan lain-lain ulama’ untuk cari mencari malam Lailatul Qadar

Jika awal ramadhan jatuh pada hari:

I) Ahad atau rabu – malam qadar dijangka berlaku pada malam 29 ramadhan

II) Isnin - malam qadar dijangka berlaku pada malam 21 ramadhan;

III) Selasa atau jumaat - malam qadar dijangka berlaku pada malam 27 ramadhan;

IV) Khamis- malam qadar dijangka berlaku pada malam 25 ramadhan;

V) Sabtu- malam qadar dijangka berlaku pada malam 23 ramadhan


Tahun ini Ramadhan jatuh pada Hari Rabu , 11 Ogos 2010 .

Jadi ? Renung2kan dan selamat beramal .

Saturday, September 4, 2010

Muslimat Pencetus Muslimin BertaQwa ?

"Wanita yang secekal Asiyah dan Mariam selayaknya diangkat darjatnya diakhirat. Bayangkan apa yang berlaku dengan kecekalan dan sikap kuat beribadat yang ada pada Mariam? Akhirnya dari perutnya lahirlah seorang Nabi yang bakal meneruskan mata rantai perjuangan dakwah di bumi Allah." Imtiazsofea, jun 09.

Beberapa orang bertanya pada saya, "Apa yang imtiaz maksudkan dengan Muslimat pencetus muslimin bertaqwa?" Ada yang tertanya-tanya. Tapi semuanya hakikat.

Wanita itu punya kelembutan yang dikurniakan oleh Allah SWT.Oleh itu, pilihlah jalan berdasarkan akal untuk menggunakan kelembutan dan kasih sayang yang ada. Sama ada untuk melentur buluh mahupun mengeraskan besi sedia ada.

Percaya atau tidak, wanita lebih berkuasa dalam mendidik?

Wanita punya kuasa besar dalam memupuk sifat positif dalam diri kanak-kanak mahupun dewasa. Tapi sejauh manakah mereka menggunakan kuasa dan kelebihan ini kearah mardhatillah.

Asiyah zaujah Firaun, isteri Firaun. Rata-rata sudah mengenal Asiyah isteri si kejam yang berperangai syaitan iaitu firaun. Walaupun Asiyah bukanlah orang yang berjaya melentur firaun supaya menjadi manusia yang beriman dan taat pada Allah.

Tetapi atas kuasa wanitanya beliau mampu memujuk Firaun supaya menerima Nabi Musa sebagai anak angkat. Sedangkan semua tahu pada waktu itu, semua kanak-kanak lelaki akan dibunuh sebaik sahaja dilahirkan kerana salah seorang ahli nujumnya bermimpi kerajaan gah Firaun akan jatuh ditangan seorang lelaki pada masa hadapan.

(Dengan izinAllah) Mariam ibu nabi Isa, sejarah menyaksikan bagaimana kecekalan seorang wanita menerima takdir Allah yang meniupkan roh seorang nabi ke dalam rahimnya walaupun beliau tidak pernah disentuh mana-mana lelaki sekalipun. Tapi apakah yang berlaku ketika Malaikat Jibril turun kebumi menemuinya di Mihrab tempat beliau beribadat?

Beliau terima seadanya akan ujian dan takdir Allah buat kehidupannya. Anda fikir sejenak.. bagaimana beliau mendapat kekuatan untuk menerima takdir itu? Tidak lain dan tidak bukan hasil dan kesan kepercayaan penuh yang diberikan dirinya kepada Allah!

Zulaikha yang menggoda Nabi Yusuf. Masih ingat akan kisah yang diangkat darjatnya disisi Allah ini sehingga dinukilkan didalam Al-Quran kalamullah supaya menjadi pengajaran buat umat manusia?

Ya benar, Zulaikha isteri perdana menteri Mesir satu ketika dahulu nan cantik rupawan yang jatuh hati pada Nabi Yusuf yang mempunyai pakej lengkap seorang pemuda yang tampan lagi beriman.

Sehinggalah satu hari Zulaikha telah merayu Yusuf untuk melakukan perkara yang terkutuk disisi Allah. Yusuf yang mempunyai tingkat darjat taqwa yang tinggi disisi Allah telah menolak ajakan keji itu.

Baiklah , jadi untuk apa saya nukikan kembali kisah diatas disini? Adakah saya mahu memberitahu anda bahawa wanita-wanita diatas merupakan mereka-mereka yang ditulis namanya didalam AL Quran?

Tentu tidak! Lihat kembali kisah di atas. Dua kisah wanita beriman yang takutkan Allah dan 1 wanita yang berani membelakangi Allah dan berniat melakukan perkara yang hina disisi Allah.

Analisisnya mudah, semua wanita diberi kuasa dalam menilai samada perkara tersebut baik atau buruk buat dirinya.

Tetapi, apa yang ingin saya simpulkan berdasarkan kisah-kisah diatas adalah berkenaan wanita mempunyai kuasa yang hebat dalam melakukan sesuatu perkara tidak kira perkara positif atau negatif. Wanita yang secekal Asiyah dan Mariam selayaknya diangkat darjatnya diakhirat.

Bayangkan apa yang berlaku dengan kecekalan dan sikap kuat beribadat yang dilakukan Mariam? Akhirnya dari perutnya lahirlah seorang Nabi yang bakal meneruskan mata rantai perjuangan dakwah di bumi Allah.

Sangat perlu untuk kita lihat perkara ini sebagai satu penghormatan buat Mariam yakni wanita yang hidupnya hanya untuk Allah!

Kembali kepada Zulaikha isteri perdana menteri mesir satu ketika dahulu yang telah nekad melakukan perbuatan terkutuk bersama Yusuf tapi ditolak mentah-mentah oleh si pemuda berpakej iman dan akhlak itu.

Ya, masih lagi berkisarkan seorang wanita. Tapi bukan pada jalan kebaikan bahkan kejahatan.Adakah pada waktu itu Zulaikha tidak dikurniakan aqal untuk berfikir? Tentu tidak! Tetapi atas dorongan nafsu beiau terpedaya dengan ajakan syaitan yang dilaknat Allah.

Nah, terang bukan bahawa wanita itu merupakan pencetus kepada muslimin bertaqwa mahupun bukan. Jika si Ibu merupakan seorang pejuang, maka tak lain zuriat yang dilahirkan bakal menjadi seoang pejuang juga.

Tetapi jika siibu memilih jalan terkutuk untukmeneruskan kehidupan maka belum tentu anak yang dilahirkan itu bakal menjadi manusia yang berakhlak mulia ( dengan izin Allah).

Oleh itu wanita diluar sana... pilihlah jalan hidup anda secara berhati-hati! Jangan dah terhantuk baru nak tergandah.

Bentuklah akhlakmu semulia Mariam dan Asiyah sebelum kamu memberi pelajaran kepada orang lain.