Salam
6. Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.
Mari Kita Singkap sedikit sebanyak ayat 6 surah Alhujurat .
ASBABUL NUZUL AYAT 6
Ayat 6 surah al hujurat mengajar kita agar berhati-hati dalam menerima berita dari orang-orang fasik. Sebab nuzul atau turunnya ayat ini ialah bersempena kisah seorang muslim yang bernama al Walid bin Uqbah bin Abi Mu’id yang diutuskan oleh Nabi Muhammad salallahu alaihi wasallam untuk memungut harta sedekah dari Bani Mustaliq. Kemudian apabila beliau ke Kampung Bani Mustaliq, tiba-tiba beliau melihat penduduk kampung ramai-ramai keluar untuk menunaikan sedekah. Al Walid menyangkakan mereka sudah murtad lalu lari ke Madinah menghadap Baginda Nabi sallalahu alaihi wasallam, lau menceritakan apa yang berlaku. Setelah mendengar berita itu, baginda mengarahkan kerahan bala tentera untuk menyerang kampung Bani Mustaliq Baginda melantik Khalid al Walid sebagai pemimpin bala tentera. Khalid Al Walid bertindak menghantar perisik ke kampung tersebut untuk menyiasat apa yang berlaku. Sesampainya di sana, mereka terdengar suara azan dan melihat orang kampung menunaikan solat. Ternyata mereka tidak murtad sebagaimana didakwa oleh Walid bin Uqbah. Lalu Khalid al Walid dan bala tentera Islam kembali ke Madinah bertemu Rasulullah. Kemudian Allah menurunkan ayat 6 surah al hujurat sebagai teguran dan panduan buat orang beriman dalam menerima khabar berita dari orang fasik.
PENGERTIAN FASIK
Fasik ialah orang yang keluar dari garis panduan Islam. Menurut syara’, fasik ialah orang yang mengerjakan dosa-dosa besar atau mengekalkan dosa-dosa kecil.
PENGAJARAN
Sabda nabi sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud, ”Berhati-hati itu dari Allah dan terburu-buru itu dari syaitan.”
Kalau di zaman Rasulullah sudah ada orang-rang Islam yang membawa berita palsu dan tidak betul, maka di zaman kita ini lebih-lebih lagi, terutamanya melalui media massa yang ada sekarang ini seperti tv dan akhbar. Ditambah pula dengan teknologi internet yang sedang berkembang maju, dunia hanya di hujung jari, berita-berita cepat tersebar tanpa mempedulikan sama ada betul atau tidak. Yang penting ialah sensasi berita itu. Kebenaran menjadi perkara kedua dalam pertimbangan. Sebahagian rakyat bagaikan mendapat kedai kopi kedua di mana mereka bincangkan isu-isu semasa sama ada politik, ekonomi, sosial, agama dan lain-lain dalam internet.
Lebih teruk lagi, ada individu tertentu seolah-olah menjadikan internet terutamanya blog-blog sebagai tempat menyelesaikan masalah dalaman gerakan Islam. Blog dan laman web sebagai media baru sangat berkesan dalam menyampaikan maklumat-maklumat terkini kepada masyarakat. Keburukannya ialah mereka tidak dapat membezakan yang mana benar dan yang mana salah. Ini kerana hilangnya kemahiran yang diajar oleh Allah s.w.t. melalui ayat di atas agar kita menyelidik berita yang disampaikan, lebih-lebih lagi di zaman kefasikan masa kini.
No comments:
Post a Comment