“Merdeka pada saya adala bebas”
“Tidak dikongkong”
“Boleh buat keputusan sendiri”
“Tidak lagi dicontrol penjajah”
Boleh dengar macam-macam lagi orang kata fasal Merdeka. Boleh la tunggu di TV3 ke, TV1 atau mana-mana saluran televisyen yang ada di Malaysia. Mesti ada punya wartawan yang akan wawancara mana-mana rakyat Malaysia, untuk bertanyakan apa erti merdeka. Rata-rata, jawapannya macam itulah.
Mudahnya, saya setuju la dengan ‘pengertian ringkas’ kawan-kawan yang diwawancara tu. Betul la apa yang diorang cakapkan. Merdeka, begitulah maksudnya lebih kurang.
Namun, siapa yang pernah hendak mendalami makna merdeka yang sebenar?
Ada ke orang meneliti, apakah kita telah merdeka sekarang? Merdeka dalam erti kata sebenar.
Takrif merdeka, mungkin boleh cari dalam Kamus Dewan.
Dari satu perkataan ini, kita boleh terjemah banyak makna.
Tapi saya suka nak ambil takrif merdeka yang disebut oleh Rib’i bin Amir, apabila dia berdiri di hadapan singgahsana Parsi.
“Allah telah mendatangkan kami, untuk mengeluarkan sesiapa yang Dia kehendaki, dari perhambaan sesama manusia kepada perhambaan kepada TUHAN Manusia, dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam,”
Untuk saya, itu adalah takrif merdeka.
Merdeka dari perhambaan selain Allah SWT. Merdeka dari kesempitan dunia ini kepada keluasan Akhirat. Merdeka dari kezaliman kepada keadilan yang dianjurkan oleh Islam.
Saya percaya bahawa, apabila kita berjaya menyentuh makna merdeka yang disebut oleh Rib’i bin Amir ini, dalam kehidupan kita, nescaya kita akan berjaya memerdekakan diri kita dari semua anasir yang merosakkan kehidupan kita, yang menyekat kemajuan kita, dan yang membantutkan potensi kita.
“Ish, tak rasa terkongkong ke hidup berperaturan”
Manusia rasa dia tidak merdeka apabila dia disuruh taat kepada Allah.
Apakah sama taat kepada yang dicipta, dengan yang mencipta?
Taat dengan manusia, ada kalanya satu kemuliaan, dan ada kalanya satu kehinaan. Namun, taat kepada Allah, sentiasa merupakan satu kemuliaan. Sesaat pun tiada kehinaan. Susah kita dibayar, penat kita dibalas. Menahan nafsu pun mendapat pahala, apatah lagi berbuat amal kebaikan dalam kehidupan kita. Semuanya ada ganjaran. Walau sebesar zarah.
Dengan memepunyai kemerdekaan yang hakiki ini, barulah kita mampu melepaskan diri dari ‘penjajahan yang lebih besar’.
Apakah penjajahan yang lebih besar?
Bukannya penjajahan sesebuah negara, tetapi penjajahan minda dan aqidah.
Negara kita, sudah 52 tahun merdeka. Namun anasir-anasir luar masih pekat dalam kehidupan masyarakat. Agama rasmi kita adalah Islam, namun tiada perkembangan dalam mempraktikkannya dalam perundangan secara menyeluruh. Kita masih mengambil produk-produk barat. Kita masih tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Masih ada unsur perpecahan dan sebagainya.
Kenapa? Kenapa masih begitu? Kerana kita dijajah dari dalam. Dari minda. Dari dalam hati. Penjajahan fizikal, mungkin kita boleh tentang dengan fizikal juga. Namun, dijajah oleh minda, hanya yang tersedar sahaja yang mampu menentangnya.
Kadang-kadang, ada manusia tidak mahu membincangkan hal kemerdekaan yang sebenar ini. Dia takut. Takut untuk menyedari bahawa dia sebenarnya belum merdeka. Dia lebih rela, untuk duduk dalam mimpinya.
“Saya merdeka, saya merdeka” Tapi pakaiannya pakaian penjajah, hidupnya hidup penjajah. Dan ketahuilah bahawa, penjajahan itu masih berjalan, berjalan dan terus berjalan, merayap mempengaruhi kehidupan kita, keluarga kita dan masyarakat kita.
Manusia yang tidak memahami tuntutan Allah SWT kepada-Nya, dan tidak faham pula akan perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabatnya, tidak akan mampu untuk melepaskan dirinya dari penjajahan.
Kita sebagai orang Islam, hidup dengan matlamat untuk mendapat redha Allah, pada mata kita, segala apa yang terkeluar dari perintah Allah SWT, dan termasuk dalam larangan-Nya, adalah satu penjajahan pada kita.
Sebagaimana kita punya datuk nenek berusaha kuat menentang Jepun, British, Belanda, Bintang Tiga, lebih dari itu lagi kita perlu kuat menentang penjajahan jahiliyyah yang cuba membuatkan kita jauh daripada Allah SWT.
Lihatlah Rasulullah SAW. Andai erti merdeka itu adalah pembebasan sesebuah negara, maka baginda akan menyuruh sahabat-sahabatnya tidak keluar berdakwah dari Madinah dan Makkah. Baginda, akan menghentikan segala usaha baginda selepas Fathu Makkah.
Tetapi, bukankah usaha baginda berterusan walau selepas kewafatannya?
Kerna, merdeka yang sebenar, adalah apabila manusia bebas dari jahiliyyah, bebas dari penghambaan sesama manusia. Bebas dari kezaliman agama. Bebas dari kesempitan dunia.
Siapakah yang hendak menyatakan bahawa dia telah merdeka dengan sebenarnya?
Maka dia perlu mengambil takrif Rib’i bin Amir, dan ukur pada kehidupannya.
Maka dia perlu melihat perjuangan Rasulullah SAW yang membawa kita kepada kemerdekaan sebenar, dan ukur pada apa yang sedang dia lakukan.
Merdeka kah kita?
ps: Ramadhan bulan perubahan. mari kita berusaha memerdekakan diri kita dari jahiliyyah!
2 comments:
mau.duit.ka?
(baca laju2..bunyinya cm MERDEKA)
huuu..
huhu..
Post a Comment