Saya berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang menjadi pendorong dan pemangkin kepada tulisan-tulisan ini. Dan juga pengunjung blog yang sering memberi kata dorongan.

Saya sentiasa bertanya, untuk apa saya menulis? Namun, jawapan yang sedia di dalam hati sejak dulu sering mengingatkan saya… “aku menulis untuk mengingatkan diri sendiri disamping mengingatkan orang lain.”

Kita sendiri kekadang lambat mendapat manfaat daripada apa yang kita tulis berbanding pembaca. Dan kita harap setelah pembaca mengamalkan, mereka berdoa untuk kita… Begitulah yang pernah dikatakan oleh penulis besar seperti Aid Al Qarni, yang merasakan doa-doa daripada pembaca buku-bukunya lebih bernilai daripada bayaran royalti yang diterimanya.

Saya bukan penulis besar seperti dia… tetapi saya juga mengharap adanya titisan doa daripada orang lain sebagai pencetus hidayah daripada Allah untuk saya yang sedang bermujahadah.

Cukuplah itu sebagai perkongsian rasa. Justeru sebagai manusia, saya juga hendak “didengarkan” setelah selalu “mendengarkan”. Tetapi itu bukanlah cerita peribadi, namun lebih kepada ingin berkongsi. Justeru dalam hidup pembaca sendiri tentu tidak kurang warna-warninya yang dapat dipadankan dengan luahan-luahan ini.

Dan pada kesempatan ini… telusurilah tulisan ini. ia ada detak hati, letusan rasa bila melihat perkembangan semasa. Saya cuba membawa kita jauh semula ke belakang untuk mendepani masalah semasa, kerana sejarah itu sesungguhnya sering berulang. Nikmatilah… BERHALA BATU VS BERHALA NAFSU

Bila manusia tidak kenal Allah, manusia tidak akan mencintai-Nya. Bila manusia tidak kenal Allah, manusia tidak akan takut kepada-Nya. Sedangkan cinta dan takut kepada Allah itu sumbu dan mber kebaikan dalam hidup di dunia ini. Tanpa cinta Allah, manusia tidak akan dapat mengasihi sesama manusia. Tanpa takut kepada Allah, manusia tidak akan dapat dikawal kejahatan dan kelicikan tipu dayanya.

Orang yang mencintai Allah akan lunak, mesra dan sayang kepada sesama manusia. Kerana apa? Kerana Allah menyuruhnya berbuat begitu. Iman kepada Allah adalah asas dan teras untuk berkasih-sayang. Justeru, Rasulullah saw mengingatkan, tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Iman dan kasih sayang itu bagai irama dan lagu – keduanya tidak dapat dipisahkan. Teguh iman, kukuh persaudaraan.

Tidak ada kebaikan kepada Allah melainkan melalui kebaikan sesama manusia. Memberi salam kepada orang lain mengundang kesejahteraan daripada Allah. Menziarahi saudara kita akan dilimpahi kasih-sayang Allah. Membantu menyelesaikan masalah seseorang, Allah janjikan untuk menyelesaikan masalah kita. Tidak ada dikotomi antara hubungan Allah dengan hubungan sesama manusia. Keduanya saling berkaitan dan berdekatan antara satu sama lain.

Lalu, apabila kes dera bayi dan penzaliman terhadap kanak-kanak kembali berleluasa dalam masyarakat kini dan kita ditanya apakah puncanya? Apalagi jawapannya kalau bukan kerana manusia tidak kenal Allah. Tidak kenal Allah menyebabkan kita tidak cintakan Allah. Dan bila tidak cintakan Allah, maka lunturlah kasih-sayang terhadap manusia. Itulah punca dera.

Pada hal Islam menekankan kasih sayang bukan sahaja kepada manusia malah kepada tumbuhan dan haiwan. Pada musim haji, para jemaah dilarang merosakkan pokok. Pada waktu berperang tentera Islam dilarang menebang pokok yang berbuah. Hutan jangan dipugar dengan mengetepikan kelestarian alam, itu haram. Itu kasih-sayang kepada tumbuhan.

Manakala pada haiwan pula… pernah Rasulullah saw bersabda, akan seseorang yang dimurkai Allah kerana mengurung kucingnya tanpa diberikan makanan. Pisau untuk menyembelih binatang sangat perlu ditajamkan. Dan nabi Muhammad sangat melarang umatnya menyeksa binatang. Unta dan keldai jangan dibebani dengan bebanan yang berat sehingga melebihi kemampuannya menanggung.

Orang yang cinta Allah, akan mencinta makhluk-Nya. Orang yang mencintai makhluk yang di bumi, akan dicintai oleh makhluk yang di langit. Dan begitulah sebaliknya, jika orang tidak cintakan Allah, dia akan membenci makhluk-Nya. Bila dia membenci apa yang di bumi, akan mengutuknya apa yang di langit.

Mengapa ada manusia yang sanggup mendera bayi dan kanak-kanak kecil? Mengapa mereka tergamak berbuat demikian? Sedangkan harimau yang ganas itu pun tidak mendera anaknya? Apakah manusia lebih ganas daripada haiwan? Apakah ada insan yang lebih kejam daripada binatang?

Jawabnya, ya! Bila manusia tidak kenal Allah, manusia akan jadi lebih ganas daripada haiwan. Pada skala yang makro, lihat bagaimana bom atom, senjata kimia dan nuklear telah membunuh ribuan, malah jutaan manusia. Manusia yang dibunuh manusia lebih banyak daripada manusia yang dibunuh oleh haiwan ganas. Tidak syak lagi, manusia lebih ganas daripada harimau, singa dan buaya!

Pada skala mikro, betapa banyak bayi atau anak-anak kecil yang dibuang, didera malah dibunuh oleh ibu-bapa, jiran atau manusia yang durjana? Padahal mengurung kucing tanpa diberi makan pun sudah dimurkai Allah, inikan pula menendang, memijak dan mencekik bayi dan kanak-kanak. Mengapa manusia kembali ke zaman Jahiliah, yakni ketika umat Arab membunuh bayi-bayi perempuan mereka?

Tentulah kerana hati manusia yang mendera itu sama dengan hati orang Arab jahiliah. Hati yang karat dengan berhala. Jika dahulu manusia menyembah berhala batu kini manusia (yang beragama Islam) menyembah berhala nafsu dalam diri sendiri. Nafsu menyebabkan hati nurani menjadi rapuh dan kotor. Nafsu menjadi penjana sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, pemarah, rakus, dendam, gila dunia, cinta nama dalam diri manusia. Dan bila mazmumah sudah bertakhta, kasih sayang dan cinta sesama manusia akan sirna.

Kata orang, kemiskinan menjadi satu tekanan dalam diri ibu-bapa sehingga tega mendera anaknya. Tetapi Siti Fatimah dan Sayidina Ali juga miskin tidak sampai mendera anaknya Sayidina Hasan dan Husin. Kata pengkaji lagi, kerana manusia moden sering terancam, maka mereka sendiri bertukar menjadi pengancam… tetapi sejarah hidup sahabat-sahabat Rasulullah memaparkan hakikat sebaliknya.

Pernah seorang sahabat Rasulullah saw dijadikan tawanan dan menunggu masa untuk dihukum mati. Menjelang hukuman mati, Sayidina Khubaib meminta pisau untuk merapikan janggut dan misainya… Pisau itu diberikan kepadanya. Namun entah bagaimana, seorang anak kecil dari kaum Kafir Quraisy telah pergi berhampiran dengan Khubaib dan bermain-main dengannya.

Setelah menyedari hal itu, kaum Quraisy gempar dan berlari mendapatkan demi menyelamatkan budak tersebut. Mereka merasakan Khubaib pasti akan mencederakan anak kecil kaum yang akan membunuhnya nanti. Atau setidak-tidaknya menjadikan anak itu sebagai tebusan untuk menyelamatkan diri…

Apakah itu yang dilakukan Khubaib? Tidak, beliau tidak mencederakan sedikit pun anak itu kerana dalam hatinya ada iman. Subur iman, maka bersemilah kasih-sayang. Dan kasih sayang tidak akan tega membiarkan pemiliknya membenci apalagi mendera atau menyeksa sesama manusia. Itulah yang ada di dalam hati Khubaib, dan itulah yang tidak ada dalam hati para pendera masa kini.

Bagaimana mengatasi masalah penderaan sesama manusia? Tidak ada lain, melainkan setiap diri perlu kembali mengenali dan mencintai Allah. Mungkin jawapan ini pun sukar diterima memandang umat Islam telah pun belajar tentang persoalan iman – percaya kepada Allah, percaya kepada malaikat dan lain-lain rukun Iman di sekolah. Namun mengapakah masih berlaku kejahatan dan kemungkaran termasuk masalah penderaan ini?

Amat besar bezanya antara tahu dan kenal. Tahu itu di akal, kenal itu di hati. Ramai orang yang tahu Allah Maha Melihat, Maha Mendengar dan sebagainya tetapi sedikit sekali yang benar-benar kenal akan sifat-sifat kesempurnaan Allah itu. Jika kita hanya tahu Allah Maha melihat tidak akan benar-benar mendorong manusia melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Tetapi apabila manusia kenal sifat-sifat Allah, barulah dia merasa Allah melihat, mendengar dan sebagainya.

Hanya apabila seseorang merasa Allah melihat, mendengar, mengetahui dan sebagainya, barulah dia akan dapat menegakkan kebaikan dan meninggalkan kejahatan dalam hidupnya. Untuk mengetahui sifat-sifat kesempurnaan Allah cukup dengan belajar. Tetapi untuk mengenal dan merasainya, tidak cukup dengan belajar… kita perlu lebih daripada sekadar itu.

Bagaimana? Imam Ghazali r.h.m telah menjawab pertanyaan hati anda dan saya melalui katanya:
“Cara menambahkan keyakinan itu bukanlah dengan mengajar keterampilan berdebat dan berhujah akan tetapi caranya adalah menyibukkan diri dengan membaca Al Quran dan tahfiznya, membaca hadis dan maknanya serta sibuk dengan tugas-tugas ibadah. Dengan ini akidah anak-anak akan bertambah kukuh…”

Hanya dengan itu barulah berhala nafsu dapat ditumbangkan. Dan hanya dengan itu penderaan sesama manusia dapat dihapuskan. Jika tidak, percayalah penderaan akan terus berleluasa. Anak-anak didera oleh ibu-bapa atau orang dewasa, buruh didera oleh majikan, pengikut didera pemimpin… dan sikaya terus mendera simiskin.


gentarasa