“Tapi dia pelajar tahfiz, hafal 30 juzu”
Saya biasa dengar alasan tu.
“Dia pelajar sekolah agama. Dia mesti tahu itu halal ke haram”
Ya, ini pun biasa saya dengar.
“Eh, dia ni orang pergi usrah. Mesti dia dah faham”
Ya, ini pun banyak kali saya dengar.
Begitulah. Alasan-alasan yang keluar. Bagi menghalalkan dosa yang dilakukan.
“Boyfriend saya pelajar tahfiz, hafal 30 juzu’, sekolah agama, anak imam. Dia ok je couple dengan saya”
“Kawan saya pakai tudung labuh. Selamba je mengumpat dengan saya”
Apa, alasan-alasan itu boleh dipakaikah untuk menghalalkan perbuatan buruk?
Islam adalah Islam. Mereka hanyalah orang Islam. Apakah keaslian Islam itu terganggu dengan keburukan akhlak orang Islam?
Tidak.
Ah… Kau bukan budak agama. Kau faham apa
Sesungguhnya, tiada kemuliaan antara pelajar agama dengan yang bukan dari jurusan agama. Yang mulia hanyalah mereka yang memahami agama dan membumikannya.
Sebab itu, pelajar agama, anak pak imam, tahfiz 30 juzu’, belum tentu lagi lebih mulia daripada doktor, jurutera, pelukis, taukeh kedai. Yang mulia antara manusia, hanya mereka yang berjaya membumikan Islam dalam kehidupan mereka.
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”Surah Al-Hujurat ayat 13.
Menjadi ‘budak agama’ bukanlah lesen untuk kita merendahkan orang lain. Bahkan menjadi tanggungjawab kepada ‘budak agama’ untuk mnejadi khadam kepada Allah bagi menyebarkan agama Allah dengan seluas-luasnya.
‘Budak agama’ sepatutnya tunduk merendah diri, sedar bahawa dirinya juga manusia.
Bukan malaikat yang tidak akan punya dosa.
Justeru, dalam langkahannya sebagai ‘budak agama’, perlulah dia memahami posisi dirinya yang penting di dalam masyarakat itu sebagai satu TANGGUNGJAWAB bukannya KEMULIAAN.
Ia adalah satu TAKLIF(Tanggungjawab) bukannya TASYRIF(kemuliaan).
Jangan menjadi seperti mereka yang telah berpaling
Agama kristian rosak kerana penyelewengan ahli-ahli kitabnya. Begitu juga Agama orang Yahudi, rosak kerana penyelewengan ahli-ahlinya.
Allah SWT melaknat mereka atas penyelewengan mereka terhadap kitab-kitab Allah.
“Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu.” Surah Ali Imran ayat 187.
Maka diturunkan Al-Quran yang tidak mampu diselewengkan isinya, dirubah pokoknya.
Tetapi, Allah masih menguji manusia dengan membuka jiwa manusia kepada penyelewengan diri. Harta, pangkat, pujian, kepentingan diri dan sebagainya membuatkan jiwa manusia bergerak untuk menggunakan apa yang ada pada dirinya, ke jalan yang merosakkan.
Maka, tidak pantas hakikatnya ‘budak agama’ menjadi sebahagian dari penyelewengan ini.
Hal ini kerana, apabila ‘budak agama’ menyeleweng, maka terselewenglah seluruh ummat.
Sepatutnya, ‘budak agama’ memahami Islam dengan kefahaman yang jelas, dan membumikannya ke dalam kehidupan.
Bukan menjadi fitnah kepada masyarakat.
Kalau sekadar tahu, mereka juga mampu
Islam tidak akan mampu digerakkan dengan sekadar tahu. Islam adalah agama yang bertaut rapat dengan hati, berkait rapat dengan iman. Kita meyakini Allah, Malaikat, Qada’ Qadar, Hari Akhirat yang tidak kita lihat. Kita diikat dengan peraturan yang cantik serta kemas di dalam Islam.
Sekiranya kita hanya sekadar tahu rukun iman ada 6, dan mampu menyebut ke semuanya, tetapi kita tidak mampu memahaminya, maka melayang-layanglah kita tanpa arah di atas dunia ini.
Kalau sekadar tahu, maka kita telah melihat ramai sahaja orientalis-orientalis yang menghafal 30 juzu’ Al-Quran, yang mengkaji hukum-hukum Islam, yang berusaha mengetahui siapakah Allah, mendalami kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat. Malah, kebanyakan mereka lebih mengetahui Islam berbanding ‘budak-budak agama’ kita.
“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).” Surah Al-Baqarah ayat 146.
Tetapi, mereka hanya mengetahui.
Mereka tidak mampu memahami.
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” Surah Al-A’raff ayat 179.
Sebab itu mereka tidak mampu membumikan Islam di dalam kehidupan kita.
Sebab itu walaupun mereka telah membuat kajian, mendalami dan meneliti, mereka tetap tidak beriman. Malah mereka bergerak pula mencaci dan menghina Islam serta menyatakan Islam penuh cacat cela.
Kalau sekadar tahu, itulah jadinya.
Adakah kita, ‘budak agama’, juga seperti mereka?
‘Budak agama’ jangan jadi fitnah
Ini pesanan saya buat diri saya yang juga merupakan ‘budak agama’. Jangan kita menjadi fitnah. Jangan sampai Islam itu tercalar disebabkan peribadi kita.
‘Budak agama’ adalah pewaris Rasulullah SAW. Manusia akan melihat dan memerhati ‘budak agama’ walaupun ‘budak agama’ tidak perasan akannya.
Bila ‘budak agama’ couple, mereka akan kata couple itu boleh. Bila ‘budak agama’ mencarut, mereka akan kata mencarut itu boleh. Bila ‘budak agama’ buat benda tak elok, mereka akan kata buat benda tak elok itu boleh.
Sebab, kebanyakan masyarakat adalah manusia yang tidak mengetahui, jahil terhadap hakikat Islam yang sebenar. Maka ‘budak agama’ adalah dalil bagi mereka. Mereka melihat ‘budak agama’ sebagai contoh dalam kehidupan mereka.
Kalau mereka tidak tersasar dengan perangai buruk ‘budak agama’, paling kurang pun mereka akan hilang kepercayaan kepada ‘budak agama’. Lebih buruk, mereka hilang kepercayaan kepada Islam itu sendiri.
“Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: “(bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).” Surah Ali Imran ayat 78.
Pernah seorang yang berpangkat ‘abang’ berkata kepada saya. Perhatian: Dia bukan ‘Budak Agama’. Dia berkata:
“Aku ni, pernah tengok dengan mata kepala aku sendiri, perempuan tudung labuh bercumbu dalam kereta. Dulu, aku memang hajat isteri aku orang pakai tudung labuh. Tapi lepas tengok tu, hampeh, aku dah tak percaya sesiapa dah”
Dan dia berkata kepada saya begitu, sebab dia tahu saya ‘budak agama’ walaupun ketika itu saya baru berumur 16 tahun.
Jangan jadi fitnah. Nanti di akhirat kelak, tengkuk-tengkuk kita akan terikat bersama dosa-dosa orang lain yang melakukan dosa disebabkan mereka mengikuti kita.
Penutup: Kenapa tak tegur mereka?
Ya. Akan ada dari kalangan ‘budak agama’ yang melenting bila membaca tulisan saya. Pasti akan ada yang berkata: “Ala, takkan cakap fasal budak agama kut? Budak lain lagi teruk”
Saya tak akan rasa hairan kalau anak yang tidak pernah belajar 123, tak boleh mengira 123. Tetapi saya akan hairan kalau budak darjah enam, tak boleh mengira 123. Adakah ayat saya ini mengetuk minda anda?
Saya tak akan rasa hairan kalau orang yang tidak belajar agama, melakukan perlanggaran kepada arahan Allah SWT. Hal ini kerana, mereka tidak tahu. Maka menjadi tanggungjawab orang yang belajar agama, yang faham dakwah dan tarbiyah, untuk mengajak mereka yang tidak tahu ini.
Tetapi saya akan merasa hairan, kalau orang yang belajar agama, melakukan perlanggaran kepada arahan Allah SWT. Tambah menghairankan saya, dia melanggar arahan Allah SWT dalam keadaan langsung tidak takut, tidak malu, seakan-akan perlanggaran itu satu perkara yang biasa. Sedangkan mereka mengetahui, mempelajari Islam itu sendiri.
Kita boleh lihat perkara ini dalam dua hadith. Pertama, hadith seorang badwi kencing di masjid nabawi. Sahabat-sahabat hendak memarahinya, tetapi Rasulullah menghalang sahabat-sahabat baginda. Bahkan membiarkan sahaja badwi itu kencing sehingga habis. Hal ini kerana, Rasulullah SAW tahu bahawa arab badwi itu tidak mengetahui.
Satu lagi Hadith menceritakan bagaimana Abu Dzar Al-Ghifari memanggil Bilal bin Rabah dengan panggilan: “Hei anak hitam!” Rasulullah pantas menegur dengan bersabda: “Wahai Abu Dzar, aku melihat pada dirimu masih ada sisa jahiliyyah” Teguran Rasulullah ini membuatkan Abu Dzar menangis dan meletakkan kepalanya ke tanah untuk dipijak oleh Bilal. Kenapa Rasulullah menegur sedemikian? Hal ini kerana Rasulullah tahu bahawa Abu Dzar mengetahui sepatutnya adalah tidak patut seorang Mu’min menghina saudara mu’minya yang lain.
Sebab itu, saya menegur ‘budak agama’ secara direct.
Sebab ‘budak agama’ adalah mengetahui, mempelajari. Sebab dengan title ‘budak agama’, kita automaticly menjadi perhatian dan contoh kepada masyarakat.
Jangan kerana kita, Islam yang sempurna ini rosak.
-copy dari abg hilal-
No comments:
Post a Comment