Indahnya Ramadan, paginya hening untuk yang insaf, siangnya pendek untuk yang sabar dan malamnya panjang untuk yang bertaubat. Selain menahan diri daripada lapar dan dahaga, berpuasa juga menahan diri melakukan perbuatan maksiat.
Sesiapa meninggalkan ibadat puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari itu pada mana-mana hari, meskipun ia berpuasa seumur hidupnya.
Permulaannya rahmat, pertengahan pengampunan dan penghujungnya terlepas daripada neraka jahanam. Inilah yang mahu dikejar sesiapa saja inginkan penghabisan usia yang baik. Mereka yang bersalah memohon maaf, si sombong menghulur senyum dan jahat mula bertaubat. Begitu juga yang selama ini takbur tidak putus bersujud memohon keampunan, memohon pelepasan daripada dosa yang terhimpun sekian lama.
Rasulullah SAW menyatakan beberapa kelebihan bulan Ramadhan, antaranya : Pada bulan itu diwajibkan berpuasa, semua pintu syurga dibuka, semua pintu neraka ditutup, semua syaitan diikat dan dibelenggu, padanya terdapat satu malam yang nilainya disisi Allah lebih baik daripada 1000 bulan (84 tahun). Banyak lagi kelebihan bulan tersebut dalam riwayat yang lain, antaranya : Ramadhan bulan ampunan, bulan rahmat, bulan pembebasan manusia dari api neraka, bulan sabar, bulan Al-Quran, penghulu semua bulan dalam setahun, segala amalan soleh dilipat gandakan ganjarannya melebihi bulan-bulan lain. Sungguh celaka sesiapa yang tidak mendapat fadhilat bulan tersebut. Dan Baaginda SAW akahiri pidato ringkasnya dengan : Sesiapa yang tidak memperolehi kebaikan bulan tersebut maka dia tidak memperolehi apa-apa. Atas sebab itulah Rasulullah SAW menamakan Ramadhan sebagai ( شَهْرٌ مُبَارَكٌ ) : Bulan Berkat.
Keberkatan atau Al-Barakah ( البَرَكَةُ ) menurut bahasa diambil daripada perkataan Al-Birkah ( البِرْكَةُ ) yang maknanya Kolam, sebab dalam keberkatan terdapat ciri-ciri khas yang terdapat di dalam kolam, iaitu : 1. ( كَثُرَ مَاؤُهُ ) : Banyak airnya ; 2. ( ثَبَتَ مَاؤُهُ ) : Tetap airnya. Setiap kolam mesti memiliki dua sifat tersebut, sebab jika sedikit airnya maka mungkin namanya " kolah " atau " lopak " dan jika mengalir pula airnya maka mungkin lebih sesuai dinamakan " sungai " atau " parit ". Oleh itu, jika seseorang mendapat keberkatan dalam hidupnya, bermakna dia layak mendapat ganjaran pahala yang sangat banyak dan ganjaran tersebut tetap baginya dan tidak dikurangi. Dan atas sebab ini pula sesetengah ulamak mengartikan Al-Barakah ( البَرَكَةُ ) dengan makna ( النُّمُوُّ وَالزِّيَادَةُ ) : Berkembang dan bertambah.
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَمَّا حَضَرَ رَمَضَانُ : قَدْ جَاءَكُمْ شَهْرٌ مُبَارَكٌ ، اِفْتَرَضَ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ ، تُفْتَحُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ ، وَتُغْلَقُ فِيْهِ أَبْوَابُ الْجَحِيْمِ ، وَتُغَلُّ فِيْهِ الشَّيَاطِيْنُ ، فِيْهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ ، مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ . رَوَاهُ أَحْمَدُ وَالنَّسَائِى وَالْبَيْهَقِى
Daripada Abi Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda ketika akan tiba Ramadhan : Telah datang kepadamu bulan yang diberkati, Allah telah mewajibkan ke atasmu berpuasa di dalamnya, pada bulan itu pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat ; juga terdapat pada bulan itu satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan ; Barangsiapa tidak memperolehi kebaikannya maka dia tidak memperolehi apa-apa.
(HR Ahmad, Al-Nasaai dan Al-Baihaqi)
No comments:
Post a Comment